Sabtu, 18 Julai 2015 | 10:08pm

Bot karam: Operasi cari mangsa terakhir disambung esok

SEORANG anggota Bomba dan Penyelamat melakukan pemerhatian dalam operasi mencari mangsa bot karam di sekitar perairan Bagan Pasir, Tanjung Karang. - Foto Faiz Anuar
SEORANG anggota Bomba dan Penyelamat melakukan pemerhatian dalam operasi mencari mangsa bot karam di sekitar perairan Bagan Pasir, Tanjung Karang. - Foto Faiz Anuar

TANJONG KARANG: Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang, di sini, Khamis lalu, dihentikan kira-kira jam 7 malam ini.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata gerakan mencari mangsa terakhir itu, yang dikenal pasti sebagai G Shankar, akan disambung pagi esok.

"Bagaimanapun, pemantauan di pesisiran pantai dan sungai tetap diteruskan," katanya.

Bot itu yang dinaiki 14 orang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot, berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada jam 3 petang bagi melakukan upacara membuang abu mayat.

Bot itu dikatakan bocor dan semua mangsa menimba air sebelum ia dilaporkan karam ketika dalam perjalanan pulang kira-kira dua jam kemudian.

Enam mayat ditemui setakat ini, dikenal pasti sebagai A Parianathan, 30, yang berasal dari Taman Aman Sekinchan, Selangor; A Muniamah, 49; K Logaraj, 29; M Gnaswdree, 59; G Jaya Sangari, 27 dan M. Kunasegaran, 57, semuanya berasal dari Sungai Buloh, Kuala Selangor.

Tujuh yang terselamat adalah P Alumalai; M Sugamaran; V Nagaswari; N Sanmugan; C Sabtayan; C Sundraja dan S Partiven.

Mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan. - BERNAMA

Berita Harian X