Sabtu, 18 Julai 2015 | 2:24pm

Bot karam: Seorang mangsa ditemui, seorang lagi masih dicari

PASUKAN mencari dan menyelamat hari ini menemui mayat seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang Khamis lalu. G Shankar ditemui kira-kira 11.45 pagi tadi di pesisiran pantai di belakang kem Polis Gerakan Am Bagan Pasir. - Foto BERNAMA
PASUKAN mencari dan menyelamat hari ini menemui mayat seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang Khamis lalu. G Shankar ditemui kira-kira 11.45 pagi tadi di pesisiran pantai di belakang kem Polis Gerakan Am Bagan Pasir. - Foto BERNAMA

TANJONG KARANG: Mayat seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang, di sini, Khamis lalu, ditemui kira-kira jam 11.45 pagi ini.

Mayat A Parianathan, 30, yang berasal dari Taman Aman Sekinchan, Selangor ditemukan pasukan mencari dan menyelamat di pesisiran pantai di belakang kem Polis Gerakan Am Bagan Pasir, Tanjong Karang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata dengan penemuan itu, jumlah kematian dalam tragedi bot karam itu meningkat kepada enam.

Mohd Sani berkata, operasi mencari seorang lagi mangsa, G Shankar, sedang giat dijalankan.

Bot itu yang dinaiki 14 orang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada 3 petang Khamis lalu bagi melakukan upacara membuang abu mayat.

Dua jam kemudian ia dilaporkan karam ketika dalam perjalanan pulang.

Selain Parianathan, lima mayat lagi yang ditemukan sebelum ini adalah A Muniamah, 49; K Logaraj, 29; M Gnaswdree, 59; G Jaya Sangari, 27 dan M Kunasegaran, 57, semuanya berasal dari Sungai Buluh, Kuala Selangor.

Ttujuh lagi yang terselamat dikenal pasti sebagai P Alumalai; M Sugamaran; V Nagaswari; N Sanmugan; C Sabtayan; C Sundraja dan S Partiven. semua mereka diselamatkan bot nelayan tempatan.

Bot itu dikatakan mengalami kebocoran dan semua mangsa menimba air sebelum ia tenggelam dipukul ombak. - BERNAMA

Berita Harian X