Jumaat, 17 Julai 2015 | 9:43pm

Bot karam: Pemandu nafi muatan berlebihan punca tragedi

TANJONG KARANG: Pemandu bot mendakwa ombak kuat punca botnya karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang, di sini, semalam sehingga mengorbankan lima nyawa setakat ini.

P Alumalai, 51, berkata ribut petir berlaku ketika kejadian.

Beliau berkata, mereka dalam perjalanan pulang setelah melakukan upacara membuang abu mayat di kawasan perairan itu kira-kira jam 5 petang.

Alumalai dari Sekinchan yang telah mengemudi bot selama enam tahun menolak dakwaan bahawa penumpang berlebihan menjadi penyebab insiden itu.

Bot itu yang dinaiki 14 orang yang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada jam 3 petang bagi melakukan upacara membuang abu mayat.

Dua jam kemudian ia dilaporkan karam ketika dalam perjalanan pulang.

Lima mayat ditemui dan usaha mencari dua lagi mangsa masih dijalankan. Tujuh penumpang lain berjaya diselamatkan nelayan tempatan. - BERNAMA

Berita Harian X