Jumaat, 17 Julai 2015 | 4:14pm

Bot karam: Seorang mangsa ditemui, dua lagi masih hilang

EMPAT mati lemas dan tiga hilang selepas sebuah bot yang membawa 14 orang karam semasa upacara membuang abu mayat anggota keluarga di laut malam tadi. - Foto BERNAMA
EMPAT mati lemas dan tiga hilang selepas sebuah bot yang membawa 14 orang karam semasa upacara membuang abu mayat anggota keluarga di laut malam tadi. - Foto BERNAMA

TANJUNG KARANG: Seorang daripada tiga mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Kajang berdekatan dengan Jeti Bagan Pasir, ditemui petang tadi.

M Kunasegaran, 57, ditemui kira-kira jam 2.10 petang di lokasi satu batu nautika dari kawasan kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul, berkata pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui lokasi bot karam itu pagi tadi sebaik operasi diteruskan.

Beliau berkata, pada masa ini, dua lagi mangsa, A Parianathan, 30 dan G Shankar, masih belum ditemui dan gerakan sedang dijalankan untuk mengesan mereka.

Katanya, empat mangsa lemas sudah dikenal pasti iaitu, A Muniamah, 49; K Logaraj, 29; M Gnaswdree, 59 dan G Jaya Sangari, 27, semuanya berasal dari Kuala Selangor.

"Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan malam semalam, disambung semula pagi ini sebelum anggota yang terbabit dalam misi itu berjaya menemui lokasi tempat bot itu karam," katanya.

Tujuh lagi mangsa yang berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan adalah P Alumalai; M Sugamaran; V Nagaswari ; N Sanmugan; C Sabtayan; C Sundraja dan S Partiven.

Beliau berkata, semua mangsa lemas selesai dibedah siasat jam 4.35 pagi tadi dan mayat mereka sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Difahamkan, bot yang dinaiki 14 mangsa berkenaan bertolak dari jeti nelayan di Sungai Kajang, pada jam 3 petang semalam bagi mengadakan upacara membuang abu mayat di kawasan perairan berkenaan.

Bot itu karam di kawasan boya nombor dua ketika belayar pulang ke pangkalan, kira-kira jam 5 petang.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan, dalam satu kenyataan media, berkata satu bot Maritim sudah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, pasukannya bekerjasama dengan pasukan Bomba dan Penyelamat bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Turut sama dalam operasi berkenaan adalah pasukan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Berita Harian X