Sabtu, 11 Julai 2015 | 9:11pm

Seorang maut, tiga parah nahas dekat Kangkar Senangar

MUAR: Seorang maut manakala tiga lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Pagoh-Parit Sulong, dekat Kangkar Senangar di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Norilla Ismail, 50-an maut selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit yang juga anak mangsa patah kaki. Dua lagi penumpang pula sedang menerima rawatan kecemasan dipercayai mengalami pendarahan dalaman.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Penolong Kanan Bomba II, Ishak Kassim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 petang berhubung kejadian itu.

"Sebuah jentera dan kenderaan bantuan kecemasan (ERMS) dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

"Pihak bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan semua mangsa dengan seorang daripadanya dikeluarkan oleh orang awam yang turut berada di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Ishak berkata, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, jenazah Norilla juga turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat, sebelum dituntut oleh ahli keluarga mangsa.

Berita Harian X