Ahad, 21 Jun 2015 | 12:12pm

Lelaki Vietnam maut ditikam rakan senegara

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Vietnam maut ditikam dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan rakan senegaranya yang mabuk di sebuah rumah di Taman Sembilang, Seberang Jaya, di sini malam tadi.

Jurucakap polis berkata, mangsa Ngu Yen Huu Giap, 25, pekerja sebuah kilang di Jalan Jelawat di sini ditikam di dada kiri meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Katanya, dalam kejadian itu jam 11.50 malam, mangsa bersama sekumpulan rakan senegaranya yang tinggal di rumah berkenaan minum minuman keras sebelum mereka mabuk sehingga berlaku pergaduhan menyebabkan mangsa ditikam.

"Mangsa yang cedera parah di dada kirinya di bawa ke HSJ oleh rakan serumahnya untuk rawatan sebelum dilaporkan mati sejam kemudian," katanya di sini hari ini.

Polis merampas sebilah pisau di rumah sewa didiami warga Vietnam itu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, polis turut menahan 20 warga Vietnam termasuk lima wanita yang tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan. Semua mereka bekerja di kilang sekitar Perai. - BERNAMA

Berita Harian X