KUALA LUMPUR: Polis percaya enam penjenayah warga asing yang bersenjatakan parang sudah melarikan diri ke hutan berhampiran Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail, di sini semasa operasi memburu dilakukan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Senior Asisten Komisioner Muhamad Azlee Abdullah, berkata operasi memburu yang dilakukan sejak 4.30 pagi itu, tidak berjaya mengesan enam suspek berkenaan.
Katanya, pihaknya kini meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) untuk mengesan penjenayah terbabit.
"Unit anjing pengesan K9 turut terlibat dalam operasi itu selain sekatan jalan raya di lokasi berhampiran. Kita percaya penjenayah masih lagi berada di hutan berhampiran.
"Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan mereka melarikan diri di lorong yang kita tidak ketahui kerana kawasan ini luas, kira-kira 400 ekar," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.