Selasa, 2 Jun 2015 | 10:46am

3 maut nahas dekat Ayer Keroh

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat dua mangsa yang rentung dalam kemalangan maut berhampiran Ayer Keroh, Melaka, awal pagi tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat dua mangsa yang rentung dalam kemalangan maut berhampiran Ayer Keroh, Melaka, awal pagi tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

JASIN: Tiga orang maut, termasuk dua rentung, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 192.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Ayer Keroh, Melaka pagi tadi.

Bagaimanapun, identiti ketiga-tiga mangsa yang maut dalam nahas kira-kira jam 3.30 pagi itu masih belum dikenal pasti.

Difahamkan, Proton Saga BLM yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, sebelum terbabas ke kiri jalan dan seorang daripada penumpang kereta itu tercampak keluar lalu mati di tempat kejadian.

Perodua Myvi yang dinaiki tiga orang dari arah sama yang cuba mengelak Proton Saga terbabit, terbalik manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) Audi yang dinaiki tiga orang, juga gagal mengelak lalu melanggarnya.

Akibat perlanggaran itu, Proton Saga dan MPV Audi berkenaan tercampak sejauh kira-kira 200 meter sebelum kedua-duanya terbakar.

Bagaimanapun enam orang yang menaiki Perodua Myvi dan MPV Audi itu berjaya keluar dari kenderaan masing-masing.

Berita Harian X