Khamis, 28 Mei 2015 | 3:55pm

4 terbabit curi kereta diberkas di Puchong

MOHD Adnan (kanan) menunjukkan kereta yang dirampas selepas sidang media mengenai kes pecah rumah dan curi kereta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
MOHD Adnan (kanan) menunjukkan kereta yang dirampas selepas sidang media mengenai kes pecah rumah dan curi kereta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan empat individu termasuk dua wanita kerana disyaki terbabit dalam kegiatan curi kereta dan pecah rumah dalam satu serbuan di Bandar Kinrara, Puchong, Selasa lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata tangkapan itu dibuat selepas polis menerima laporan kehilangan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI di USJ 9, Subang Jaya pada 30 April lalu.

"Kesemua suspek yang berumur 30 dan 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan BK5/5A, Bandar Kinrara, Puchong bersama empat buah kereta termasuk sebuah Volkswagen yang disyaki dicuri dalam kejadian pecah rumah pada 30 April lepas," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan ke atas empat suspek terbabit turut membawa kepada penemuan dua lagi kenderaan di sebuah rumah di Bandar Kinrara 5, Puchong, kira-kira jam 2 petang, semalam.

"Selain Volkswagen, lima lagi kenderaan yang dirampas (polis) itu terdiri daripada kereta jenis Volvo, Honda dan Perodua yang dicuri di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

"Modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk rumah mangsa...kemudian mengambil barang berharga serta kunci kereta milik mangsa sebelum melarikan kenderaan berkenaan," katanya.

Mohd Adnan berkata, suspek juga bertindak menukar nombor chasis, nombor pendaftaran serta memperbaharui cukai jalan kenderaan tersebut sebelum menjualnya.

Sehubungan itu katanya, polis akan turut menyiasat sekiranya terdapat penglibatan pihak berkuasa dalam kegiatan berkenaan.

"Dengan penangkapan mereka juga, polis telah berjaya menyelesaikan 10 kes curi kenderaan di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kesemua suspek ini direman empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes ini kita siasat mengikut Seksyen 457 dan 379(A) Kanun Keseksaan," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X