Sabtu, 23 Mei 2015 | 1:02pm

Pekerja kilang maut dilanggar kereta selepas ditetak

SUBANG JAYA: Seorang pekerja kilang ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki sebelum maut dilanggar sebuah kereta di Jalan Perdana 3/4, Puchong Perdana malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun dipercayai mahu membeli ubat di sebuah kedai berhampiran sebelum diserang enam lelaki.

Mangsa yang dipercayai cuba melarikan diri selepas diserang bagaimanapun dilanggar sebuah kereta kira-kira 10 meter dari lokasi dia diserang sebelum mati di tempat kejadian.

Yahaya berkata keenam-enam suspek termasuk pemandu kereta itu yang meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian kemudian melarikan diri.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan ia dipercayai bermotifkan dendam. Bagaimanapun hubungan antara pemilik kereta dan kumpulan berkenaan belum dapat disahkan.

"Mangsa mempunyai rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan dari penjara akhir 2014," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

-BERNAMA

Berita Harian X