KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rentung apabila keretanya terbakar di persimpangan Jalan Medan Putra 1, Bandar Manjalara, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Sentu,l R. Munusamy, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira 1.17 pagi.
Semasa polis tiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Persona sedang marak terbakar dan didapati mangsa rentung di tempat duduk pemandu.
Katanya hasil semakan pada nombor enjin, kereta itu didaftarkan atas nama mangsa yang berumur 38 tahun dari Sungai Chuah, Kajang.
"Kes setakat ini masih disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas, Rodzlan Othman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu kira-kira 1.19 pagi. - BERNAMA