Selasa, 14 April 2015 | 10:31am
PESURUHJAYA Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. - Foto Edmund Samunting
PESURUHJAYA Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. - Foto Edmund Samunting

Pengurus ladang maut, majikan parah disamun pekerja

KINABATANGAN: Seorang pengurus ladang kelapa sawit maut, manakala majikannya parah akibat ditembak dalam insiden samun di Ladang Tongsang, Batu 4, dekat Sukai di sini, lewat petang semalam.

Kejadian pada kira-kira jam 6 petang itu dipercayai didalangi oleh dua buruh ladang terbabit yang melarikan wang gaji untuk pekerja dianggarkan berjumlah RM18,000.

Dalam kejadian itu, Yuen Wing Wah, 50, ditemui mati dalam pejabat di ladang berkenaan, manakala pemilik ladang, Danny Wong, 30, yang berlumuran darah sempat keluar dan meminta pertolongan untuk dihantar ke hospital.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata kejadian itu disedari seorang mandur ladang berkenaan yang terdengar dua das tembakan.

"Berdasarkan maklumat mandur ladang, hari ini adalah pembayaran gaji pekerja ladang Tongsang, selain pekerja tiga ladang lain menerima gaji masing-masing kemudian yang mana pemiliknya menyediakan RM18,000 untuk tujuan itu bagi setiap ladang.

Pemeriksaan mendapati semua wang gaji itu telah tiada dalam pejabat dipercayai diambil oleh kedua-dua suspek.

"Seorang saksi telah melihat kedua-dua suspek di kawasan berhampiran pejabat sebelum tembakan berlaku," katanya di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, pemeriksaan di rumah suspek menemui sebutir peluru hidup jenis .38 dan satu peluru hidup jenis colt 45.

"Polis kini menjalankan gerakan memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya

Berita Harian X