Isnin, 23 March 2015 | 7:18pm

Pelajar warga Nigeria ditemui mati di Cyberjaya

CYBERJAYA: Seorang pelajar lelaki warga Nigeria ditemui mati dengan kesan lebam dan calar di bahagian muka di jalan masuk ke tapak projek kondominium Cyber Height Villa di sini hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang dikenali sebagai Nwole David Namdi, 37, ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang awam kira-kira 7.40 pagi.

"Siasatan mendapati tempoh kematian mangsa adalah kira-kira enam jam (sebelum ditemui) akibat dipukul dengan objek tumpul atau ditumbuk," katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata siasatan di tempat kejadian turut menjumpai beberapa salinan pasport, kad imigresen dan kad pelajar milik mangsa bertaburan dalam jarak lingkungan 200 meter dari mayat.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Berita Harian X