Selasa, 10 March 2015 | 2:40pm

Bapa, anak didakwa membunuh

REMBAU: Seorang bapa bersama anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi, kerana membunuh seorang lelaki yang cuba menyamun isterinya, bulan lalu.

Moo He Hong, 56, dan anaknya, Moo Wee Keong, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Chan Boon Poh, 42, berhampiran rumah No A113 Kampung Baru Cina Tambahan, Air Kuning Selatan, dekat Gemencheh, Tampin, pada jam 12.30 tengah malam, 24 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Azuan Said, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohamad Zahid Ahmad. Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 30 April depan di Majistret Gemas, Tampin.

Berita Harian X