Khamis, 5 March 2015 | 4:23pm

Polis tumpas empat geng terbabit kegiatan curi di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan empat geng yang melakukan kegiatan mencuri termasuk di sebuah rumah ibadat bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata geng terbabit dikenali dengan nama Geng Pecah Kereta, Geng Alfarizal, Geng Lokub dan Geng Baju Pengantin yang bergiat aktif di Bukit Padang, Sepanggar, Menggatal, Likas dan Penampang.

Katanya, kesemua geng terbabit ditangkap dalam serbuan berasingan pada 18 Februari (Geng Pecah Kereta), 23 Februari (Geng Alfarizal), 24 dan 27 Februari (Geng Lokub), manakala 'Geng Baju Pengantin' ditahan pada 27 Februari.

"Bagaimanapun, polis sedang menjejaki seorang lagi suspek daripada anggota Geng Baju Pengantin yang turut menjadi dalang dalam kegiatan mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.

Chandra berkata, menerusi serbuan itu, 13 suspek berumur antara 14 dan 49 tahun ditangkap, yang enam daripadanya didapati positif dadah.

Beliau juga berkata, Geng Lokub dipercayai terbabit dalam empat kes pecah rumah, membabitkan kerugian RM19,500 kepada mangsa, manakala Geng Pecah Kereta disyaki terbabit dalam empat kes pecah kereta di sekitar Bukit Padang.

Geng Alfarizal pula katanya disyaki memecah masuk sebuah gereja di Taman Millenium dan mencuri peralatan muzik, projektor LCD, monitor, Unit Pemprosesan Pusat (CPU), manakala 'Geng Baju Pengantin' mencuri sepasang baju pengantin perempuan dan lelaki, dua pasang jubah lelaki dan tiga pasang gaun perempuan, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X