Ahad, 22 Februari 2015 | 1:48pm
LEBIH 400 penumpang yang dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Kedah, cemas apabila feri yang mereka naiki tiba-tiba diselubungi asap ketika berada di perairan Langkawi, hari ini. - Foto fail NSTP/Mokhsin Abidin

Lebih 400 penumpang cemas feri tiba-tiba berasap

KAKITANGAN feri (tengah) membantu penumpang memakai jaket keselamatan sebaik asap dikesan menyelubungi dalam ruang penumpang ketika feri itu dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Kedah, hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Lebih 400 penumpang yang dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Kedah, cemas apabila feri yang mereka naiki tiba-tiba diselubungi asap ketika berada di perairan Langkawi, hari ini.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 12.35 tengah hari ketika feri dua tingkat itu berlepas kira-kira 20 minit dari jeti Kuah menuju ke Kuala Kedah.

Difahamkan, sejurus kepulan asap dikesan, anak kapal segera mengarah penumpang memakai jaket keselamatan sebelum feri berpatah balik ke jeti Kuah.

Feri terbabit bagaimanapun selamat tiba di jeti Kuah jam 12.55 tengah hari dan semua penumpang kemudian dipindahkan ke feri gantian untuk ke Kuala Kedah.

Seorang petugas feri yang enggan dikenali, berkata kepulan asap yang dikesan dalam feri dipercayai berpunca daripada tindakan seorang penumpang yang menghisap rokok dalam tandas feri.

"Penumpang terbabit dikesan meletak puntung rokok atas rak dalam tandas yang diperbuat daripada gentian kaca menyebabkan berlaku kebakaran kecil.

"Akibat kebakaran kecil itu asap telah masuk ke ruang penumpang dan berlaku suasana panik tetapi terkawal," katanya.

Berita Harian X