Jumaat, 16 Januari 2015 | 3:29pm

Tempoh dua minggu untuk pemilik ubah motosikal kepada asal

Timbalan Ketua Trafik Pasukan, ACP Mahamad Akhir Darus (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Ketua Trafik Pasukan, ACP Mahamad Akhir Darus (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis memberi tempoh dua minggu kepada pemilik motosikal yang melakukan pengubahsuaian pada kenderaannya tanpa kebenaran untuk mengembalikannya kepada asal, sebelum operasi khas besar-besaran dilakukan di seluruh negara, bermula 2 Februari depan.

Timbalan Ketua Trafik Bukit Aman, Asisten Komisioner Mahamad Akhir Darus, berkata operasi khas itu akan memberi tumpuan kepada motosikal yang diubah suai atau pemasangan aksesori berlebihan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Katanya, pengubahsuaian itu termasuk menukar blok (struktur dalam) enjin, enjin, tayar tidak menepati spesifikasi seperti nipis (tayar sotong), karburator serta ekzos.

"Pengubahsuaian yang tidak dibenarkan boleh meningkatkan risiko kemalangan dan menyebabkan kenderaan tidak selamat digunakan.

"Jika didapati bersalah, mereka boleh ditahan dan kenderaan itu boleh disita mengikut Seksyen 60 dan 64, Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Berita Harian X