Selasa, 12 Julai 2022 | 9:05am
Penyokong Novak Djokovic meraikan pemain itu ketika majlis sambutan kejayaan menang gelaran Wimbledon di Belgrade City Hall dekat Belgrade. - AFP
Penyokong Novak Djokovic meraikan pemain itu ketika majlis sambutan kejayaan menang gelaran Wimbledon di Belgrade City Hall dekat Belgrade. - AFP

Djokovic hampir pasti tidak beraksi di Terbuka AS

BELGRADE: Juara baharu Wimbledon, Novak Djokovic berkata hari ini bahawa dia kemungkinan besar tidak beraksi dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun ini selepas terus enggan divaksin untuk pencegahan COVID-19.

Ketika ini, status pemain berusia 35 tahun yang masih belum divaksin bermakna dia tidak dibenarkan masuk ke AS untuk bermain dalam kejohanan yang akan bermula bulan depan.

Pemain Serbia itu dihalau keluar dari Australia kerana status vaksin pada Januari menyebabkan dia tidak dapat mempertahankan gelaran Terbuka Australia.

"Pada ketika ini saya tidak boleh ke AS, saya berharap akan menerima berita positif, tapi masa sudah tidak banyak, saya tidak tahu, saya harap musim bunga akan berkekalan," katanya kepada penyiar Serbia, RTS.

Novak Djokovic memegang trofi menyambut peminat semasa majlis mengalu-alukan kejuaraannya di hadapan dewan bandar raya di Belgrade, Serbia. - Foto REUTERS
Novak Djokovic memegang trofi menyambut peminat semasa majlis mengalu-alukan kejuaraannya di hadapan dewan bandar raya di Belgrade, Serbia. - Foto REUTERS

"Saya mahu bermain di Terbuka AS tetapi jika tidak boleh, ia bukanlah penamat dunia atau Grand Slam pertama saya menarik diri.

"Adalah penting buat saya untuk kekal sihat secara fizikal dan mental, jadi saya boleh bermain untuk tempoh yang lama dan peluang melakukannya pasti ada," katanya. - AFP

Berita Harian X