Sabtu, 9 Julai 2022 | 7:02am
Pemain Serbia, Novak Djokovic ketika menentang Cameron Norrie di All England Lawn Tennis and Croquet Club, London, Britain. - REUTERS
Pemain Serbia, Novak Djokovic ketika menentang Cameron Norrie di All England Lawn Tennis and Croquet Club, London, Britain. - REUTERS

Djokovic jumpa Kyrgios di final Wimbledon

LONDON: Novak Djokovic menemui prestasi terbaik selepas permulaan longgar berdepan pemain Britain, Cameron Norrie hari ini untuk mara ke final kelapan Wimbledon dan akan berdepan Nick Kyrgios.

Pilihan utama dari Serbia itu tewas pada set pertama tetapi bangkit untuk menang 2-6, 6-3, 6-2, 6-4.

Ia akan menjadi rekod final ke-32 Grand Slam dalam kategori lelaki buat juara enam kali Wimbledon itu yang membawanya satu melebihi Roger Federer dan dua mengatasi Rafael Nadal.

Djokovic sudah tahu dia akan bertemu Kyrgios selepas Nadal menarik diri semalam menjelang pertemuan separuh akhir dengan pemain Australia itu kerana kecederaan perut.

Pemain Serbia itu yang ada rekod kalah 2-0 di tangan Kyrgios, menjanjikan "aksi sengit" ketika dia menyasarkan 21 gelaran Grand Slam esok – yang membolehkan dia satu mengatasi Federer dan satu di belakang Nadal dalam pemburuan mahkota terhebat sepanjang zaman.

"Tugas masih belum selesai," kata pemain berusia 35 tahun itu. "Satu perkara yang pasti - pastinya ada banyak aksi menarik secara emosi daripada kedua-duanya."

"Dia bermain secara bebas," katanya. "Dia adalah antara pemain dengan servis terbaik dalam permainan. Sudah agak lama kami tidak bertemu.

"Saya tidak pernah menang satu set berdepannya. Saya harap ia akan berbeza kali ini. Ia satu lagi final buat saya di Wimbledon, jadi saya harap pengalaman akan memihak saya." - AFP

Berita Harian X