Selasa, 5 Julai 2022 | 9:25pm
V Shem dan Juan Shen meraikan kejayaan menewaskan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 15-21, 21-14, 21-19 pada pusingan pertama Masters Malaysia di Axiata Arena. - NSTP/Fathil Asri
V Shem dan Juan Shen meraikan kejayaan menewaskan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 15-21, 21-14, 21-19 pada pusingan pertama Masters Malaysia di Axiata Arena. - NSTP/Fathil Asri

V Shem-Juan Shen 'smash' juara All-England

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Low Juan Shen mengakhiri badi 'tersungkur seawal pusingan pertama' apabila mara ke pusingan kedua Masters Malaysia 2022, sebentar tadi.

V Shem-Juan Shen yang bergandingan sejak tahun lalu nyata menyerap aura sokongan padu penonton di Axiata Arena Bukit Jalil apabila melakar kejutan menumpaskan juara All-England 2022 dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 15-21, 21-14, 21-19 dalam tempoh 51 minit.

"Akhirnya kami memenangi perlawanan. Gembira walaupun perlawanan hari ini agak sengit. Namun pada set kedua mereka seakan sedikit tertekan dan kami mengambil peluang itu sebaiknya,"

"Pada set kedua, mereka seperti ragu-ragu dan takut-takut. Kita mempunyai kelebihan daripada sudut sokongan penonton jadi peluang itu turut kami ambil dan terus menyerang dan ia menjadi," kata V Shem.

Daripada lima kejohanan musim ini, V Shem-Juan Shen sering dikecewakan seawal pusingan pertama kecuali di Masters Korea Selatan pada April lalu di mana mereka mara ke pusingan kedua selepas gandingan India, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala menarik diri.

Mereka turut melangkah ke pusingan kedua Terbuka Korea Selatan sebelum itu, namun hanya mara selepas menewaskan gandingan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah di pusingan pertama.

"Keserasian kami semakin OK. V Shem membawa saya dan memberikan tunjuk ajar. Hari ini selepas banyak perlawanan disertai, kami dapat sesuatu yang baik dan saya rasa ada peningkatan," kata Juan Shen.

Turut mara ke pusingan kedua adalah Chang Yee Jun-Yap Roy King selepas menewaskan beregu Ireland, Joshua Magee-Paul Reynolds 21-14, 22-20 dalam tempoh 40 minit.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menewaskan rakan senegara, Azriyn-Khim Wah 21-13, 21-14 dalam tempoh 28 minit manakala pilihan kelima kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kemenangan ke atas pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 21-16, 21-19.

Berita Harian X