Selasa, 5 Julai 2022 | 9:07am
Bintang Sepanyol, Rafael Nadal (kanan) dan pemain Belanda, Botic van de Zandschulp bersalaman selepas menamatkan aksi pusingan keempat tenis Wimbledon di All England Club, Wimbledon, Britain, semalam. - Foto REUTERS
Bintang Sepanyol, Rafael Nadal (kanan) dan pemain Belanda, Botic van de Zandschulp bersalaman selepas menamatkan aksi pusingan keempat tenis Wimbledon di All England Club, Wimbledon, Britain, semalam. - Foto REUTERS

Nadal, Halep mudah mara ke suku akhir Wimbledon

LONDON: Rafael Nadal mara ke saingan suku akhir tenis Kejohanan Wimbledon selepas menewaskan pilihan ke-21 dari Belanda, Botic van de Zandschulp 6-4, 6-2, 7-6 (8/6) di sini, semalam.

Dalam saingan wanita, juara edisi 2019, Simona Halep pula menewaskan pilihan keempat dari Sepanyol, Paula Badosa dalam tempoh 60 minit untuk menempah pertemuan dengan Amanda Anisimova.

Nadal yang mengejar Grand Slam kalendar, memulakan kempen di All England Club dengan perlahan tetapi kini semakin mendapat rentak untuk memburu gelaran Wimbledon ketiganya.

"Saya rasa saya terus bermain dengan cara positif sehingga ke akhir di mana saya bermain dengan teruk. Secara peribadi, dapat mara ke suku akhir selepas tiga tahun (di Wimbledon) adalah cukup menakjubkan buat saya," kata Nadal yang juga pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu.

Jika juara Grand Slam 22 kali itu dapat menewaskan pilihan ke-11, Taylor Fritz manakala Nick Kyrgios mengatasi pemain Chile, Cristian Garin, mereka akan bertembung pada separuh akhir Jumaat ini.

Kyrgios yang cedera di bahu, mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Brandon Nakashima 4-6, 6-4, 7-6 (7/2), 3-6, 6-2.

Pemain tenis Ramonia, Simona Halep. Foto EPA.
Pemain tenis Ramonia, Simona Halep. Foto EPA.

Halep yang juga bekas pemain nombor satu dunia, kini berada di landasan terbaik untuk memenangi gelaran Wimbledon keduanya selepas ramai pemain ranking tertinggi dunia sudah tersingkir.

Pemain Romania itu yang belum tewas sebarang set di Wimbledon kali ini, mengatasi Badosa 6-1, 6-2 untuk bertemu Anisimova dari Amerika Syarikat di suku akhir.

Anisimova yang juga pilihan ke-20, menamatkan impian pemain Perancis, Harmony Tan yang mengejutkan Serena Williams pada perlawanan pembukaannya.

- AFP

Berita Harian X