Isnin, 4 Julai 2022 | 8:08am
Pemain tenis Switzerland Roger Federer (kanan) dan pemain Serbia Novak Djokovic ketika sambutan ulang tahun ke-100 All England Tennis Club di Wimbledon, London. - Foto AFP
Pemain tenis Switzerland Roger Federer (kanan) dan pemain Serbia Novak Djokovic ketika sambutan ulang tahun ke-100 All England Tennis Club di Wimbledon, London. - Foto AFP

Djokovic mara, Federer idam aksi terakhir

LONDON: Juara enam kali Novak Djokovic mara ke suku akhir Wimbledon ke-13 dirinya manakala Roger Federer yang dibelenggu kecederaan menyatakan hasrat untuk beraksi sekali lagi di All England Club.

Turun sebagai pilihan utama, Djokovic yang memburu rekod Pete Sampras sebagai juara tujuh kali, menewaskan pemain wild card Belanda Tim van Rijthoven, 6-2, 4-6, 6-1, 6-2.

"Dia lawan yang cukup sukar. Saya tidak pernah berdepan dengannya sebelum ini. Dia mempunyai servis hebat, pukulan padu dan sentuhan menarik," kata Djokovic.

Aksi di gelanggang utama dimulai dengan perarakan juara-juara sebagai memperingati ulang tahun ke-100 stadium berkenaan.

Salah seorang daripada mereka ialah juara lapan kali Federer, yang tidak beraksi kali ini akibat kecederaan lutut.

"Saya harap dapat kembali sekali lagi. Saya rindu bermain di sini," kata Federer yang bakal mencecah usia 42 tahun.

Kali terakhir dia beraksi di Wimbledon ialah ketika tewas di suku edisi tahun lalu.

Dalam saingan wanita, pemain nombor dua dunia Ons Jabeur kekal di landasan untuk memburu gelaran Slam pertamanya selepas menewaskan pemain Belgium Elise Mertens 7-6 (11/9), 6-4.

Pemain Tunisia itu kini hadir sebagai pilihan utama selepas pemain nombor satu dunia Iga Swiatek tersingkir Sabtu lalu. - AFP

Berita Harian X