Jumaat, 1 Julai 2022 | 8:28am
Pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu, Rafael Nadal menewaskan pemain Lithuania Ricardas Berankis 6-4, 6-4, 4-6, 6-3 untuk mara ke pusingan ketiga Wimbledon. - Foto REUTERS
Pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu, Rafael Nadal menewaskan pemain Lithuania Ricardas Berankis 6-4, 6-4, 4-6, 6-3 untuk mara ke pusingan ketiga Wimbledon. - Foto REUTERS

Nadal lolos, Swiatek samai rekod Hingis

LONDON: Rafael Nadal sekali lagi dipaksa bekerja keras sebelum mara ke pusingan ketiga Wimbledon manakala pemain pilihan utama wanita Iga Swiatek turut lolos.

Pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu, yang cuba melengkapkan Grand Slam tahun ini, bangkit daripada kekalahan set ketiga buat kali kedua berturut-turut untuk menewaskan pemain Lithuania Ricardas Berankis 6-4, 6-4, 4-6, 6-3.

Nadal kelihatan selesa di dua set pertama sebelum Berankis bangkit menewaskannya di set ketiga. Bintang Sepanyol itu bangkit di set seterusnya yang terpaksa dilangsungkan di bawah bumbung akibat hujan.

Pemenang 22 kali Grand Slam itu, yang tidak beraksi di Wimbledon sejak mara ke separuh akhir 2019, mengakui dia perlu meningkatkan permainannya menjelang pertemuan dengan Lorenzo Sonego dari Itali.

Saya kurang bermain di atas rumput sepanjang tiga tahun lalu. Ia memberikan saya peluang untuk terus mara, jadi saya gembira untuk itu.

"Saya perlu meningkatkan persembahan. Set keempat lebih baik, saya perlu bekerja lebih keras," kata Nadal.

Aksi pilihan utama wanita, Iga Swiatek dari Poland ketika menentang Lesley Pattinama Kerkhove dari Belanda. - Foto AFP
Aksi pilihan utama wanita, Iga Swiatek dari Poland ketika menentang Lesley Pattinama Kerkhove dari Belanda. - Foto AFP

Pemain Poland Swiatek memerlukan lebih dua jam untuk mengatasi pemain Belanda Lesley Pattinama Kerkhove 6-4, 4-6, 6-3.

Dia mengatasi rekod kemenangan 36 perlawanan berturut-turut Monica Seles pada tahun 1990 dan menyamai rekod deretan 37 kemenangan Martina Hingis pada awal musim 1997. - AFP

Berita Harian X