Rabu, 22 Jun 2022 | 11:45am
Novak Djokovic (kiri) menentang Rafael Nadal pada separuh akhir Wimbledon 2018 di The All England Lawn Tennis Club dekat Wimbledon, London. - AFP
Novak Djokovic (kiri) menentang Rafael Nadal pada separuh akhir Wimbledon 2018 di The All England Lawn Tennis Club dekat Wimbledon, London. - AFP

Djokovic, Nadal pilihan utama di Wimbledon

LONDON: Novak Djokovic dan Rafael Nadal akan mengetuai pemburuan gelaran di Wimbledon ketika juara lapan kali, Roger Federer dan dua pemain teratas dunia semuanya akan terlepas aksi.

Djokovic menyasarkan gelaran ketujuh di All England Club untuk menyamai catatan pemain hebat Amerika Syarikat, Pete Sampras.

Nadal pula masih segar selepas menang gelaran ke-14 Terbuka Perancis dan rekod 22 kejuaraan Grand Slam dalam tempoh lebih separuh abad.

Grand Slam ketiga tahun ini sudah awal-awal lagi menjadi isu politik sebelum ia bermula pada Isnin.

Keputusan untuk menghalang pemain Russia dan Belarus selepas pencerobohan ke atas Ukraine bermakna tiada tempat buat pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev atau pemain ranking kelapan, Andrey Rublev.

Buat pertama kali sejak penampilan sulung pada 1999 – tidak termasuk edisi 2020 yang dibatalkan kerana COVID-19 – Federer tidak akan beraksi kerana pemain berusia 40 tahun itu sedang menjalani pemulihan akibat kecederaan lutut.

Juga tidak akan beraksi ialah pemain nombor dua dunia dari Jerman, Alexander Zverev kerana kecederaan pergelangan kaki pada separuh akhir Terbuka Perancis menentang Nadal. - AFP

Berita Harian X