Isnin, 20 Jun 2022 | 6:26pm

Chong Wei, Taufik Hidayat 'live' di Tik Tok, Rabu ini

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan membuat kemunculan pertama secara langsung di aplikasi TikTok pada jam 9 malam, Rabu ini.

Malah, dia turut akan ditemani bekas 'musuhnya', Taufik Hidayat dari Indonesia pada sesi secara langsung itu yang bakal menyaksikan mereka berkongsi pengalaman dan pengetahuan sepanjang kerjaya sebagai pemain badminton.

Kehadiran Chong Wei dalam TikTok didorong sokongan platform itu untuk pelbagai acara sukan yang diadakan pada tahun ini.

Pengurus Operasi Strategi TikTok Malaysia, Darren Quek, berkata badminton adalah salah satu sukan popular dalam kalangan Malaysia dan berdasarkan himpunan tanda pagar #badmintoreceiving, ia menerima lebih dari 280,500 jumlah muat naik video dengan tontonan sebanyak 5.7 bilion.

"#badmintonplayer pula merekodkan muat naik video sebanyak 48,300 dengan jumlah tontonan sebanyak 1.1 bilion manakala #thomascup mencatatkan muat naik video sebanyak 6,300 dan 142.6 juta tontonan.

"Menerusi Piala Thomas dan Sukan SEA 31 baru-baru ini, pihak kami menjangkakan orang ramai akan terus tertarik untuk menonton detik-detik ikonik para atlet di laman TikTok termasuk saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Chong Wei juga akan turut berada di dalam platform TikTok bagi bersama-sama menyokong atlet negara," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Chong Wei mengakui teruja apabila dapat menjadi sebahagian daripada komuniti TikTok dan gembira melihat rakyat Malaysia mengikuti perkembangan sukan badminton di platform berkenaan.

"Walaupun ramai yang mengenali saya sebagai legenda badminton, saya teruja untuk berkongsi cerita dan pengalaman tentang sukan melalui platform TikTok," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu.

Berita Harian X