Jumaat, 3 Jun 2022 | 10:50am
Pemain AS, Coco Gauff (kanan) berpelukan dengan pemain Itali, Martina Trevisan selepas menang separuh akhir dekat Court Philippe-Chatrier, Roland-Garros. AFP
Pemain AS, Coco Gauff (kanan) berpelukan dengan pemain Itali, Martina Trevisan selepas menang separuh akhir dekat Court Philippe-Chatrier, Roland-Garros. AFP

Gauff ke final, rayu henti keganasan

PARIS: Coco Gauff bergelar finalis termuda Grand Slam pada usia 18 tahun di Terbuka Perancis dan dia menggunakan persembahan hebatnya untuk meminta tindakan terhadap insiden serangan bersenjata di Amerika Syarikat (AS) dengan menulis "keamanan, tamatkan keganasan bersenjata" di skrin televisyen tepi gelanggang.

Bintang AS itu akan berdepan pemain nombor satu, Iga Swiatek pada final esok selepas mengetepikan Martina Trevisan 6-3, 6-1 pada separuh akhir.

Sebelum membuat rayuan berkenaan untuk mengawal penggunaan senjata di negaranya, dia menegaskan insiden terbaharu itu bermakna dia perlu melalui kekalahan atau kemenangan dengan secara adil.

"Ya benar ia final Grand Slam tetapi ada terlalu banyak perkara berlaku di seluruh dunia, terutama di AS – saya rasa tidak penting untuk terlalu tertekan dengan perlawanan tenis," katanya.

Gauff bercakap hanya beberapa jam selepas seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya empat orang di luar bangunan hospital dekat Tulsa, Oklahoma, – insiden terbahru membabitkan serangan bersenjata di AS sejak beberapa minggu lalu.

Pemain yang menang pada Terbuka Perancis dijemput untuk menulis mesej di skrin televisyen.

Pada kebiasaannya ia adalah mesej ringan ataupun deklarasi mengenai sesuatu. - AFP

Berita Harian X