Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:03pm
Chong Wei berharap skuad badminton negara tidak patah semangat dengan kegagalan di Piala Thomas.
Chong Wei berharap skuad badminton negara tidak patah semangat dengan kegagalan di Piala Thomas.

'Jadikan kekalahan kepada India sebagai iktibar'

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei percaya skuad badminton negara yang ada ketika ini mampu melakar kejayaan besar tahun ini.

Bekas pemain badminton nombor satu dunia itu, berkata kekalahan 2-3 di tangan India dalam aksi suku akhir Piala Thomas, Khamis lalu seharusnya tidak mematahkan semangat pemain sebaliknya menjadikan ia sebagai iktibar untuk kembali bangkit bagi menghadapi kejohanan seterusnya.

"Sudah pasti harapan tinggi diletakkan dalam saingan Piala Thomas 2022 berdasarkan prestasi dan peluang yang kita ada.

"Namun, kita perlu terima hakikat, pasukan yang lebih baik menang. Semua pemain mahu menang tetapi malangnya hanya ada satu pemenang dalam mana-mana kejohanan.

"Berdasarkan umur dan pengalaman, hampir semua pasukan tahun ini adalah muda dan mempunyai peluang sama rata. Jadikan kekalahan ini sebagai iktibar, tingkatkan kekuatan kita semula, perbaiki kelemahan dan mahu ke hadapan sebagai satu pasukan.

"Ada banyak kejohanan utama menanti tahun ini, teruskan berjuang. Saya percaya dengan pasukan yang ada ketika ini, kita akan melakar pencapaian yang besar tahun ini," kata Chong Wei menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Dalam pada itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu turut mengucapkan tahniah kepada India yang berjaya mencipta sejarah mara ke final Piala Thomas buat kali pertama.

"Tahniah kepada pasukan India yang mencipta sejarah. Semoga berjaya mengharungi baki perlawanan dalam kejohanan ini," katanya.

Selepas menundukkan Malaysia, India mengekalkan momentum mereka apabila mengatasi Denmark 3-2 dalam aksi separuh akhir, semalam.

India akan bertemu juara bertahan, Indonesia di pentas final esok selepas pasukan itu menewaskan Jepun 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Berita Harian X