Ahad, 8 Mei 2022 | 6:11pm
Aaron (depan) anggap aksi pertama menentang England dalam saingan Piala Thomas esok cukup penting.
Aaron (depan) anggap aksi pertama menentang England dalam saingan Piala Thomas esok cukup penting.

Wajib 'smash' England

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki yang juga kapten skuad negara, Aaron Chia menyifatkan aksi pertama Kumpulan D menentang England dalam saingan Piala Thomas, esok sebagai perlawanan cukup penting dan wajib menang.

Dia yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama gandingannya, Soh Wooi Yik, berkata kemenangan dalam aksi pertama akan memberi momentum positif kepada pasukan bagi mengharungi dua baki perlawanan kumpulan terutamanya apabila berdepan pencabar utama Jepun.

"Perlawanan menentang England sangat penting, sudah pasti kami akan tampilkan prestasi terbaik untuk meraih kemenangan pertama buat negara," katanya.

Skuad lelaki negara tampil di kejohanan yang berlangsung di Bangkok, Thailand kali ini dengan misi untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun selepas kali terakhir muncul juara pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, memberi bayangan skuad negara akan menurunkan barisan terkuat bagi memastikan kemenangan pertama kejohanan kali ini yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

"Perlawanan pertama sentiasa penting, ia akan menjadi permulaan buat pasukan agar tidak menghadapi tekanan bagi melangkah lebih jauh. Jadi, pemain perlu mempamerkan prestasi terbaik apabila menentang England dan memenangi perlawanan.

"Kami akan mengadakan perbincangan mengenai pemain yang akan diturunkan. Kita masih ada sesi latihan hari ini untuk melihat siapa yang lebih bersedia untuk diturunkan," katanya.

Jika barisan kejurulatihan tidak melakukan 'eksperimen', jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia pasti diturunkan bagi menggalas tugas selaku perseorangan pertama diikuti Liew Daren dan Ng Tze Yong.

Aaron-Wooi Yik pula akan menjadi sandaran sebagai beregu pertama manakala juara Terbuka Jerman, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei kedua.

Selepas aksi bertemu England, skuad negara akan menentang Amerika Syarikat sehari selepas itu dan mengakhiri aksi peringkat kumpulan berdepan Jepun pada Rabu.

Berita Harian X