Rabu, 4 Mei 2022 | 1:54pm
Indra (kanan barisan belakang) bersama Zii Jia dan pasukan sokongannya meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Asia. - Foto FB Lee Zii Jia
Indra (kanan barisan belakang) bersama Zii Jia dan pasukan sokongannya meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Asia. - Foto FB Lee Zii Jia

Indra belum puas

KUALA LUMPUR: Indra Wijaya mengakui masih belum puas biarpun berjaya membantu anak didiknya, Lee Zii Jia meraih gelaran sulung di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina, Ahad lalu.

Jurulatih dari Indonesia itu, berkata dia masih mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terutamanya bagi membantu pemain perseorangan lelaki nombor satu negara berkenaan mengejar impiannya bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sebagai jurulatih, sudah pasti saya bangga dengan kejayaannya muncul juara BAC kali ini. Namun, selain saya dan Zii Jia, ada lagi beberapa individu dalam pasukan sokongan iaitu Lee Zii Yii (kakak Zii Jia) sebagai pengurus, Sandra Fiedler (fisioterapi), Lim Joe Hiang (jurulatih kecergasan) dan Liew Daren (rakan sepelatih).

"Kalau mahu bercakap mengenai puas, saya belum puas. Saya dan pasukan akan membantu Zii Jia untuk mengejar impiannya menjadi juara Olimpik.

"Apapun, kejayaan kali ini adalah satu petanda positif bagi menghadapi kejohanan yang lebih besar. Semuanya perlu proses dan kami sedang melaluinya," kata Indra.

Zii Jia muncul juara selepas menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie 21-17, 23-21 dalam aksi final, Ahad lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu adalah pemain keenam dari Malaysia yang berjaya meraih gelaran BAC selepas Teh Kew San (1962), Tan Aik Mong (1971), Datuk Rashid Sidek (1991, 1992), Foo Kok Keong (1994) dan Datuk Lee Chong Wei (2006, 2016).

Ini adalah kejuaraan pertama Zii Jia sejak dia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional, Januari lalu.

Kejayaan di Manila menyaksikan ranking juara Seluruh England 2021 itu naik satu anak tangga di kedudukan keenam dunia.

Indra percaya pencapaian di BAC akan menyuntik semangat Zii Jia untuk sekali lagi tampil dengan prestasi terbaiknya bagi membantu skuad negara menghadapi saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand yang bermula Ahad ini.

Berita Harian X