Jumaat, 29 April 2022 | 10:45pm
Pemain perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan FB BAM.
Pemain perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan FB BAM.

Zii Jia layak separuh akhir kejohanan Asia di Manila

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia mempamerkan permainan bertenaga ketika menewaskan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama, bagi menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina, hari ini.

Zii Jia, pemain nombor tujuh dunia itu bermain cemerlang dari awal sehingga tamat permainan peringkat suku akhir apabila memerlukan hanya 36 minit untuk mengetepikan cabaran Tsuneyama 21-13, 21-11, dalam saingan di Kompleks Sukan Muntinlupa.

Pemain pilihan ketiga itu akan menentukan tempat ke akhir dengan bertemu pemain bukan pilihan dari China, Weng Hong Yang, pada perlawanan separuh akhir esok.

Terdahulu, Hong Yang melakukan kejutan dengan menewaskan pemain pilihan kedua kejohanan, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia dalam tiga set 21-13,16-21 dan 21-11.

Sementara itu juara beregu lelaki Terbuka Jerman 2022, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan permainan cemerlang mereka di kejohanan itu dengan menewaskan Ren Xiang Yu-Tan Qiang dari China, 21-19, 21-14.

- BERNAMA

Berita Harian X