Selasa, 5 April 2022 | 5:32pm
Gambar fail - Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.
Gambar fail - Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.

5 pemain negara lepasi pusingan pertama Terbuka Korea

KUALA LUMPUR: Semua lima wakil negara yang memulakan aksi di pusingan pertama Terbuka Korea, di Suncheon, hari ini bermula dengan langkah kanan selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing untuk mara ke pusingan kedua.

Seperti diramal, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tidak berdepan masalah mengesahkan tiket ke kelompok 16 terbaik selepas menewaskan Kalle Koljonen dari Finland 21-13, 21-15 dan akan bertemu pemain tuan rumah, Kim Donghun bagi perebutan tempat ke suku akhir, Khamis ini.

Kemaraan Tze Yong turut diiringi seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei yang menewaskan pemain India, HS Prannoy 21-17, 21-7 dan dijadual berdepan Weng Hong Yang dari China.

Sementara itu, aksi perseorangan wanita menyaksikan bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei meraikan kemunculan semulanya di pentas antarabangsa selepas kembali daripada persaraan menerusi kemenangan ke atas Asuka Takahashi dari Jepun 21-19, 16-21, 21-17 dan bertemu pemain Korea, Lee Se Yeon untuk merebut tempat ke suku akhir.

Dalam saingan beregu lelaki, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mengatasi pasangan India, Bokka Navaneeth-B Reddy Sumeeth 21-14, 21-12 bagi menempah pertemuan dengan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Satu lagi pasangan negara, Tan Wee Kiong-Tan Kian Meng menewaskan beregu Korea, Hwi Tae Kim-Dae Il Yoon 1-18, 21-13 dan bakal berdepan tugas mencabar apabila dijadual bertemu pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Berita Harian X