Ahad, 27 March 2022 | 9:04pm
Aksi Sze Fei-Nur Izzuddin ketika final Terbuka Switzerland.
Aksi Sze Fei-Nur Izzuddin ketika final Terbuka Switzerland.

Sze Fei-Nur Izzuddin tumpas di final Terbuka Switzerland

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terlepas peluang untuk merangkul gelaran kedua mereka musim ini apabila tewas di pentas final Terbuka Switzerland, sebentar tadi.

Pilihan kelapan kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 300 BWF itu tewas kepada pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 18-21, 19-21 dalam tempoh 39 minit.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan pasangan Indonesia yang menduduki ranking kesembilan itu melebarkan rekod kemenangan 4-1 ke atas Sze Fei-Izzuddin.

Kali terakhir beregu Indonesia itu meraih kemenangan ke atas Sze Fei-Izzuddin adalah di Terbuka Taiwan 2019 di mana Fajar-Rian meraih kemenangan 22-20, 21-14.

Bagi kempen 2022 setakat ini, Sze Fei-Izzuddin yang menduduki ranking ke-18 dunia sudah memenangi Terbuka Jerman yang berlangsung pada awal bulan ini dengan menewaskan beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 23-21, 16-21, 21-14 di pentas final.

Momentum kemenangan itu bagaimanapun tidak dapat dibawa di pentas Seluruh England minggu lalu apabila terkandas seawal pusingan pertama di tangan beregu China, He Ji Ting-Tan Qiang 15-21, 21-19, 11-21.

Berita Harian X