Rabu, 16 March 2022 | 7:22pm
Aksi beregu muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan FB BAM.
Aksi beregu muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan FB BAM.

Tiada tekanan di bahu Wei Chong-Kai Wun

KUALA LUMPUR: Tiada harapan tinggi diletakkan pemain beregu muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada kemunculan pertama mereka pada kejohanan badminton Seluruh England yang bermula hari ini.

"Saingan Seluruh England pertama saya bersama Wei Chong. Tentunya saya teruja kerana berpeluang mempelajari sesuatu daripada pihak lawan," kata Kai Wun mengenai penampilannya di kejohanan berkenaan yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu.

Pada awal tahun ini, Wei Chong-Kai Wun mencipta kejutan apabila muncul juara di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, menewaskan pasangan tuan rumah Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-18-21-15.

Kejayaan Wei Chong-Kai Wun secara tidak langsung menyaksikan mereka berjaya menambah koleksi kejuaraan selepas menang di Cabaran Antarabangsa Sepanyol tahun lalu.

Di Cabaran Antarabangsa Sepanyol, Wei Chong-Kai Wun menewaskan beregu Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-15, 21-18 dan mereka turut pernah meraih kemenangan di Terbuka Poland, Mac tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenai persaingan di Seluruh England, Kai Wun berkata, mereka tidak mempunyai sebarang tekanan dan hanya mahu menampilkan prestasi terbaik mungkin.

"Tak ada tekanan pada kami. Kami hanya mahu melakukan yang terbaik di gelanggang nanti dan itu adalah sesuatu yang penting," katanya yang sentiasa dahagakan pengalaman untuk mencapai keputusan yang lebih baik di masa depan.

Berita Harian X