Rabu, 2 March 2022 | 5:41pm
Gambar fail - Pengarah Kejurulatihan (Beregu) BAM, Rexy Mainaky.
Gambar fail - Pengarah Kejurulatihan (Beregu) BAM, Rexy Mainaky.

Tiga beregu jadi sandaran emas di Sukan SEA Vietnam

KUALA LUMPUR: Satu beregu lelaki dan dua beregu campuran menjadi taruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menjelmakan kilauan pingat emas pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei ini.

Pengarah Kejurulatihan (Beregu) BAM, Rexy Mainaky berkata mereka ialah gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagi acara beregu lelaki selain Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei masing-masing untuk acara beregu campuran.

Katanya, dengan skuad kali ini dibarisi kombinasi antara pemain pelapis dan remaja, ketiga-tiga pasangan itu dianggap sandaran terbaik memenangi emas berdasarkan prestasi semasa mereka.

"Selain itu, kita juga mempunyai beregu wanita yang turut berpotensi untuk memenangi pingat. Kami juga merasakan mempunyai peluang untuk memenangi pingat dalam acara berpasukan," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, hari ini.

Pada edisi 2019 di Manila, skuad badminton negara melakar pencapaian terbaik selepas tempoh 44 tahun apabila membawa pulang tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

Tiga emas itu disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata penyenaraian pemain pelapis dan remaja bagi menghadapi temasya dwitahunan itu adalah disebabkan tarikh penganjurannya bertindih dengan saingan Piala Thomas/Uber 2022 yang menjadi keutamaan buat badan induk berkenaan.

Sukan SEA akan bermula 12 hingga 23 Mei manakala Piala Thomas/Uber yang berlangsung di Bangkok, bermula 8 hingga 15 Mei.

"Keutamaan kami adalah untuk saingan Piala Thomas/Uber. Namun, dalam masa yang sama Sukan SEA juga penting dan saya percaya biarpun kami menghantar pemain pelapis dan remaja, mereka akan beri yang terbaik.

"Mengenai sasaran, kami diingatkan oleh jawatankuasa yang mana pada edisi terakhir sebelum ini kami memenangi tiga emas. Jadi, walaupun hanya menyenaraikan pemain muda lebih kepada pendedahan tetapi seperti yang saya katakan tadi, kami akan cuba yang terbaik," katanya.

Berita Harian X