Khamis, 24 Februari 2022 | 7:00pm
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika aksi final saingan lelaki Badminton Berpasukan Asia di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, minggu lalu. - Foto BERNAMA.
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika aksi final saingan lelaki Badminton Berpasukan Asia di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, minggu lalu. - Foto BERNAMA.

Zii Jia sasar separuh akhir badminton Seluruh England

KUALA LUMPUR: Sedar dengan laluan berliku bakal ditempuhinya, juara bertahan, Lee Zii Jia mengambil jalan selamat apabila meletakkan sasaran mara ke separuh akhir terlebih dahulu pada saingan Seluruh England yang akan berlangsung bermula 8 hingga 13 Mac ini.

Pemain nombor tujuh dunia itu dijangka mengharungi skrip sama seperti ketika dia muncul juara tahun lalu apabila dijangka bertemu juara dunia dua kali dari Jepun, Kento Momota di suku akhir dan jika mara ke final akan membuat perhitungan dengan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Zii Jia, 24 yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan akan membuka tirai saingan menentang Kenta Nishimoto untuk aksi pusingan pertama.

"Sudah pasti saya mahu pertahankan gelaran juara tetapi untuk permulaan sasaran saya adalah mara ke separuh akhir terlebih dahulu," kata Zii Jia yang kini bergerak secara profesional selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bulan lalu.

Jika berjaya mengatasi Momota sekali pun di suku akhir, Zii Jia tidak akan berdepan laluan mudah di separuh akhir apabila pemain nombor tiga dunia, Anders Antonsen dari Denmark selain juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura; Angus Ng Ka Long (Hong Kong) dan juara Terbuka India, Lakhsya Sen berkemungkinan menjadi lawannya bagi perebutan tempat ke final.

Tahun lalu, Zii Jia menamatkan penantian empat tahun Malaysia apabila muncul juara Seluruh England dengan menundukkan Axelsen dalam aksi final. Dalam laluannya ke final, pemain nombor tujuh dunia itu turut mengejutkan Momota di suku akhir.

Berita Harian X