Ahad, 20 Februari 2022 | 8:08pm
Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika menundukkan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10 pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - NSTP/Aswadi Alias
Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika menundukkan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10 pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - NSTP/Aswadi Alias

'Usah dabik dada'

SHAH ALAM: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak terlalu mendabik dada susulan kejayaan muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, hari ini.

Terdahulu, Malaysia menamatkan dominasi Indonesia untuk merekodkan gelaran sulung dalam saingan BATC menerusi kemenangan 3-0 dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

Zii Jia, 24, yang menghuni ranking nombor tujuh dunia, berkata dengan semua pasukan yang beraksi kali ini menyenaraikan barisan kedua berbanding Malaysia yang menurunkan pasukan terkuat, ujian sebenar buat skuad negara adalah pada saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

"Walaupun kami jadi juara tetapi tidak boleh terlalu gembira sangat kerana semua pun tahu pasukan lain menghantar barisan kedua mereka. Cuma, apa yang saya boleh katakan kami mempertahankan standard kami.

"Saingan Piala Thomas nanti pastinya akan lebih mencabar kerana setiap pasukan akan menghantar barisan terkuat mereka.

"Kami boleh raikan kejayaan ini tetapi jangan keterlaluan sehingga hilang fokus. Kami perlu kembali buat persiapan untuk menghadapi Piala Thomas pula nanti," katanya.

Indonesia tampil dalam aksi final itu sebagai juara bertahan tiga kali berturut-turut selepas menjuarainya bermula edisi pertama pada 2016 di Hyderabad, 2018 di Kedah dan 2020 di Manila.

Pencapaian terbaik skuad negara pula sebelum ini adalah mara ke final di Manila, dua tahun lalu namun tewas di tangan Indonesia 1-3.

Berita berkaitan:

  • Malaysia tamatkan dominasi Indonesia
  • Berita Harian X