Ahad, 20 Februari 2022 | 1:25pm
Zii Jia menjulang trofi Seluruh England yang dimenanginya tahun lalu.
Zii Jia menjulang trofi Seluruh England yang dimenanginya tahun lalu.

Zii Jia berdepan laluan berduri pertahan Seluruh England

SHAH ALAM: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berdepan laluan berliku dalam misi mempertahankan gelaran Seluruh England yang dimenanginya tahun lalu.

Selain pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen dan bintang Jepun, Kento Momota, pemain Singapura, Loh Kean Yew kini turut berada dalam senarai yang mampu menggugat Zii Jia bagi mempertahankan kejuaraannya di Birmingham, bulan depan.

Kean Yew yang mencipta sensasi musim lalu dengan menjadi juara dunia akan membuat penampilan sulungnya di Seluruh England yang akan berlangsung bermula 16 hingga 20 Mac ini.

"Sudah pasti saya teruja untuk beraksi buat kali pertama di Seluruh England. Ini adalah sesuatu yang saya nantikan sepanjang kerjaya saya sebagai pemain badminton," kata Kean Yew yang menghuni ranking ke-12 dunia.

Tahun lalu, Zii Jia menamatkan penantian empat tahun Malaysia apabila muncul juara Seluruh England dengan menundukkan Axelsen dari Denmark dalam aksi final.

Dalam laluannya ke final, pemain nombor tujuh dunia itu turut mengejutkan juara dunia dua kali dari Jepun, Kento Momota di suku akhir.

Kini, dengan kehadiran Kean Yew dalam kejohanan badminton tertua itu, Zii Jia yang memutuskan bergerak secara profesional pastinya berdepan tugas mencabar bagi memastikan gelaran juara kekal menjadi miliknya.

Bagaimanapun, Zii Jia berjaya mengatasi Kean Yew ketika membantu Malaysia menewaskan Singapura 5-0 dalam saingan peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, Rabu lalu.

Berita Harian X