Khamis, 17 Februari 2022 | 8:10pm
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia jadi sandaran skuad lelaki negara apabila bertemu Jepun esok. - Foto NSTP/Aswadi Alias.
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia jadi sandaran skuad lelaki negara apabila bertemu Jepun esok. - Foto NSTP/Aswadi Alias.

'Tak pandang rendah kemampuan Jepun'

SHAH ALAM: Faktor pengalaman akan menjadi kelebihan buat skuad lelaki negara yang akan bertemu Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, esok.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata dengan Jepun dibarisi pemain muda, skuad negara diyakini mampu memanfaatkan peluang itu untuk melakar kemenangan.

"Bukan saya mahu memandang rendah kemampuan Jepun, namun dari segi pengalaman, pemain kita sudah pastinya mempunyai kelebihan.

"Apa yang paling penting adalah pemain kekal fokus baik perseorangan mahupun beregu. Jika itu dapat dilakukan, saya fikir kita tidak akan berdepan masalah untuk bertemu Jepun," kata Rexy yang memulakan tugasnya pada awal bulan lalu.

Semalam, Malaysia membuka tirai kempen kali ini dengan langkah kanan apabila membenam cabaran Singapura 5-0 manakala Jepun turut memenangi perlawanan pertama mereka dengan menewaskan Kazakhstan 5-0.

Malaysia dan Jepun dilabel sebagai dua pasukan pilihan daripada Kumpulan B untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Skuad lelaki negara yang berjaya menewaskan Jepun 3-0 dalam aksi separuh akhir edisi 2020 di Filipina dijangka menurunkan barisan terkuat bagi berdepan negara matahari terbit itu.

Jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia pastinya menjadi sandaran untuk menyumbang mata pertama dengan Ng Tze Yong diletakkan sebagai perseorangan kedua dan Leong Jun Hao dijangka menggalas tugas perseorangan ketiga.

Bagi acara beregu, cabaran skuad negara pastinya akan diketuai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik manakala Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dijangka turun sebagai beregu kedua.

Perlawanan Esok -

LELAKI:

Kumpulan A - Indonesia mln India, 10 pagi, Korea Selatan mln Hong Kong, 10 pagi

Kumpulan B - Malaysia mln Jepun, 4 petang, Singapura mln Kazakhstan, 4 petang

WANITA:

Kumpulan Y - Jepun mln India, 10 pagi

Berita Harian X