Rabu, 16 Februari 2022 | 11:25pm
Aksi pemain beregu negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik ketika menentang pasangan Singapura pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.
Aksi pemain beregu negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik ketika menentang pasangan Singapura pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.

Aaron bengang dengan undian BWF

KUALA LUMPUR: "Kami bertanding di luar negara bukan untuk lawan kawan sendiri."

Itu tegas pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia yang menyuarakan rasa tidak puas hatinya berhubung undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi saingan Terbuka Jerman yang bermula 8 hingga 13 Mac ini.

Berdasarkan undian, Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik dan diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan akan membuka tirai saingan menentang rakan senegara, Goh V Shem-Low Juan Shen di pusingan pertama.

Jika menang, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan bertemu pula pemenang perlawanan antara dua lagi pasangan Malaysia iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Mana-mana pasangan negara yang berjaya melangkah ke suku akhir, mereka kemungkinan besar akan bertemu dengan satu lagi beregu negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Aaron, 25, berkata situasi berkenaan bukanlah kali pertama berlaku namun undian Terbuka Jerman kali ini lebih 'teruk' apabila menyaksikan lima kedudukan di sebelah bawah undian membabitkan wakil Malaysia sekali gus tidak dapat mengelak daripada bertemu antara satu sama lain.

"Bukan kata Malaysia saja, negara lain pun menghadapi perkara sama sebelum ini, seperti contoh Indonesia bertemu Indonesia dan Jepun menentang Jepun.

"Kalau kata kami jumpa rakan senegara di pusingan kedua atau suku akhir, itu masih boleh diterima. Namun, tengok undian kali ini, lima kedudukan di bawah itu semuanya membabitkan beregu Malaysia.

"Kami pergi sehingga ke Eropah bukan untuk bermain menentang rakan sepasukan. Ini bukan sesuatu yang kami mahukan," kata Aaron.

Justeru, Aaron yang ketika ini berada di kedudukan ranking nombor tujuh dunia bersama Wooi Yik, berharap BWF dapat melakukan sesuatu bagi mengelak perkara sama berulang.

"Mengenai bagaimana cara undian perlu dilakukan, saya fikir BWF lebih tahu. Cuma, kami sebagai pemain kalau boleh janganlah pusingan pertama pun kami sudah bertemu rakan sepasukan," katanya.

Berita Harian X