Rabu, 16 Februari 2022 | 6:44pm
Indra (kiri) pernah melatih Zii Jia (kanan) sebelum ini.
Indra (kiri) pernah melatih Zii Jia (kanan) sebelum ini.

'Indra layan saya seperti anak sendiri'

SHAH ALAM: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mendedahkan keputusan memilih Indra Wijaya untuk melatih dirinya yang kini bergerak secara profesional adalah disebabkan sifat dimiliki jurulatih dari Indonesia itu yang melayan pemain seperti anak sendiri.

Juara Seluruh England 2021 itu, berkata dia gembira apabila berpeluang untuk sekali lagi bekerjasama dengan Indra yang disifatkan antara watak penting dalam melahirkan dirinya sebagai pemain seperti sekarang.

"Saya rasa semua orang pun tahu, dia yang bawa saya ketika saya berada dalam skuad pelapis. Saya boleh cakap dia adalah salah seorang jurulatih yang melahirkan saya.

"Dia jurulatih yang sangat sayang kepada pemain. Ketika saya berada di bawah bimbingannya, dia sangat fokus menjaga pemain dan sering memberikan nasihat kepada kami. Dia layan saya seperti anaknya sendiri.

"Indra adalah satu-satunya jurulatih yang saya mahukan. Selepas saya keluar BAM (Persatuan Badminton Malaysia), saya terus melamarnya untuk menjadi jurulatih saya," kata Zii Jia yang ditemui selepas dia menewaskan juara dunia, Loh Kean Yew 21-6, 21-14 dalam pertemuan Malaysia dengan Singapura dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di sini, hari ini.

Pemain berusia 24 tahun itu, berkata Indra akan membantunya bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

"Selain Indra, ada beberapa lagi individu yang akan menyertai pasukan saya termasuklah fisioterapi. Saya harap boleh membawa 'full team' bersama saya apabila beraksi di Terbuka Jerman (8 hingga 13 Mac ini)," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker memaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof sudah meluluskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia sekali gus membolehkan Zii Jia melantik Indra sebagai jurulatihnya.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengesahkan Indra sudah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, minggu lalu dan bersetuju melepaskan jurulatih berkenaan.

Mengulas mengenai penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia, pemain nombor tujuh dunia itu berkata ia adalah bagi membolehkan dia mendaftarkan Indra sebagai jurulatihnya.

"Secara jujurnya, kelab ini ditubuhkan untuk membolehkan saya melantik Indra sebagai jurulatih dan bukannya untuk buat kelab sukan. Jika tidak, saya perlu menggunakan kelab lain untuk urusan ini," katanya.

Indra mula bersama BAM pada 2015 yang mana ketika itu dia diberi tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan lelaki sebelum dia ditukarkan kepada perseorangan wanita pada 2020 sehingga kini.

Indra adalah bekas pemain kebangsaan Indonesia pada era 1995 hingga 2000 dan antara pemain seangkatan dengannya ialah bekas juara dunia 1995, Hariyanto Arbi selain Ardy B Wiranata yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1992.

Dia juga adalah abang kepada pemenang emas Sukan Olimpik 2000 dalam acara beregu lelaki, Candra Wijaya.

Berita Harian X