Rabu, 16 Februari 2022 | 12:38pm
 Gambar fail - Jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Indra Wijaya hantar surat peletakan jawatan minggu lalu.
Gambar fail - Jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Indra Wijaya hantar surat peletakan jawatan minggu lalu.

BAM setuju terima peletakan jawatan Indra Wijaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Indra Wijaya sudah menghantar surat peletakan jawatannya, minggu lalu.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata badan induk berkenaan menghormati keputusan dibuat Indra dan bersetuju untuk melepaskan jurulatih dari Indonesia berkenaan.

"Jadi, sebarang tawaran yang diterima Indra daripada mana-mana pihak selepas ini, itu terpulang kepada dirinya," katanya.

Indra mula bersama BAM pada 2015 yang mana ketika itu dia diberi tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan lelaki sebelum ditukarkan kepada perseorangan wanita pada 2020 sehingga kini.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker memaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof sudah meluluskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia sekali gus membolehkan pemain perseorangan lelaki profesional negara itu melantik Indra sebagai jurulatihnya.

Sementara itu, Indra, 48, mengesahkan dia akan membimbing Zii Jia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia, namun tidak dapat mengulas panjang mengenai perkara berkenaan sebaliknya memohon semua pihak menunggu pengumuman rasmi daripada pengurusan Kelab Badminton Lee Zii Jia.

"Dalam masa terdekat ini, pihak pengurusan akan buat pengumuman mungkin selepas berakhirnya Kejohanan Badminton Berpasukan Asia.

"Namun, kalau ikutkan berita semalam, ya.. saya akan menjadi jurulatih Zii Jia. Setakat itu saja yang saya boleh maklumkan," katanya.

Indra adalah bekas pemain kebangsaan Indonesia pada era 1995 hingga 2000 dan antara pemain seangkatan dengannya ialah bekas juara dunia 1995, Hariyanto Arbi selain Ardy B Wiranata yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1992.

Dia juga adalah abang kepada pemenang emas Sukan Olimpik 2000 dalam acara beregu lelaki, Candra Wijaya.

Berita Harian X