Selasa, 15 Februari 2022 | 6:17pm
Zii Jia memilih Indra melatihnya apabila beralih ke pemain profesional.
Zii Jia memilih Indra melatihnya apabila beralih ke pemain profesional.

Zii Jia pilih Indra

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan dibimbing jurulatih kebangsaan, Indra Wijaya bagi meneruskan kerjaya badmintonnya sebagai pemain profesional.

Perkembangan itu dikongsikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker yang turut memaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof sudah meluluskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia.

"Ini akan membantu melayakkan Zii Jia mengambil alih jurulatih Indra Wijaya yang akan menamatkan kontraknya dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) pada 31 Mac depan.

"BAM bersedia menyerahkan jurulatih dari Indonesia ini untuk terus membantu Zii Jia dalam kerjaya sukannya.

"Pejabat saya akan membantu Zii Jia untuk melicinkan proses pendaftaran, permit kerja dan keperluan imigresen. Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Zii Jia dan Kelab Badminton Lee Zii Jia yang baru ditubuhkan," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Indra ketika ini masih menggalas tugas sebagai jurulatih perseorangan wanita kebangsaan.

Dia yang mula bersama BAM pada 2015 sebelum ini memikul tugas selaku jurulatih perseorangan lelaki.

Bulan lalu, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia memutuskan untuk keluar daripada BAM dan bergerak secara profesional.

Dia sebelum ini memberitahu akan membentuk pasukannya sendiri termasuk jurulatih dan pasukan sokongan bagi membantunya kerjayanya sebagai pemain bebas.

Berita Harian X