Ahad, 13 Februari 2022 | 5:46pm
Nur Izzuddin Rumsani (kiri) dan Goh Sze Fei dalam satu aksi sebelum ini. - Foto ihsan BAM.
Nur Izzuddin Rumsani (kiri) dan Goh Sze Fei dalam satu aksi sebelum ini. - Foto ihsan BAM.

Nur Izzuddin sudah sedia bawa Malaysia ke final

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani sudah bersedia menggembleng tenaga membawa Malaysia melangkah ke pentas final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Shah Alam, yang bermula Selasa ini.

Dia yang meraih tempat ketiga Terbuka Denmark 2021 bersama Goh Sze Fei berkata sudah bersedia daripada sudut mental dan fizikal bagi mengharungi kejohanan yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia itu nanti.

"Daripada sudut persiapan, kami sudah bersedia," kata pemain berusia 24 tahun itu. "Tekanan tetap ada buat kami kerana Malaysia menghantar pasukan pertama dan sebagai tuan rumah. Apapun kami sudah bersiap sedia mental dan fizikal dan sasaran kami adalah untuk ke final."

Skuad negara menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki iaitu iaitu Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong.

Dalam acara beregu, selain Izzuddin-Sze Fei, Malaysia menyenaraikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Pada edisi 2020 di Filipina, Malaysia berjaya mara ke pentas final sebelum tewas di tangan Indonesia 1-3 dan berada di tempat ketiga pada edisi 2018 di Indonesia.

Untuk saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir sekali gus menempah tiket automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, pada Mei ini.

"Tekanan itu ada di mana-mana. Kalau kita bermain individu pun, tekanan itu masih ada. Saya harap tekanan itu dapat dikawal namun apa yang memberi semangat adalah beraksi di laman sendiri," kata Izzuddin yang mewakili Malaysia buat kali ketiga di BATC itu.

Berita Harian X