Sabtu, 12 Februari 2022 | 5:45pm
Gambar fail - Lee Zii Jia. Foto AFP.
Gambar fail - Lee Zii Jia. Foto AFP.

Kehadiran Zii Jia beri tonik tambahan kepada skuad negara

KUALA LUMPUR: Kehadiran pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dalam skuad negara diakui memberikan tonik tambahan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bermula Selasa ini.

Pemain beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia, berkata kehadiran pemain utama seperti Zii Jia disifatkan sangat penting bagi memacu perjuangan skuad negara.

Katanya, mengambil contoh seperti ketika bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei mengetuai cabaran skuad negara, ia berjaya meningkatkan lagi tahap keyakinan pemain lain.

"Saya rasa jika beraksi dalam acara berpasukan, apabila ada pemain beregu atau perseorangan utama, ia akan memberi kelebihan kepada pasukan itu.

"Bila ada acara berpasukan seperti Piala Thomas, Uber atau Piala Sudirman barulah kita semua menjalani latihan bersama. Jadi saya rasa untuk acara berpasukan, memang penting bila ada barisan pemain utama.

"Saya masih ingat Datuk (Chong Wei) menjadi ketua pasukan di Piala Thomas dekat Bangkok. Apabila ada pemain senior sepertinya, ia memberi lebih keyakinan kepada pemain remaja," katanya.

Pada saingan kali ini, Malaysia menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Zii Jia, Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Hao, Lim Chong King and Kok Jing Hong.

Dalam acara beregu, Malaysia diperkuatkan dengan kehadiran Aaron-Wooi Yik yang menjadi taruhan utama pasukan negara selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Jepun, Singapura dan Kazakhstan dengan dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir sekali gus layak ke Piala Thomas secara automatik. Malaysia akan memulakan kempen menentang Jepun, Rabu ini.

Jadual perlawanan pasukan negara:

Selasa - Wanita (Kumpulan Y_

Malaysia mln India, 4 petang

Rabu - Lelaki (Kumpulan B)

Malaysia mln Jepun, 4 petang

*Semua perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam

Berita Harian X