Selasa, 8 Februari 2022 | 8:00pm
Undian menyaksikan skuad lelaki diletakkan dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan.
Undian menyaksikan skuad lelaki diletakkan dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan.

Nasib berbeza skuad badminton lelaki, wanita

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan menyifatkan undian yang diterima Malaysia untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) sebagai 'baik' dengan 'kunci utama' untuk melakar kemenangan terletak di tangan Lee Zii Jia.

Daripada pengamatan jurulatih itu, Zii Jia yang kini berstatus pemain profesional bakal menjadi sandaran untuk mengutip mata penting terutama dalam pertemuan menentang Singapura yang membariskan pasukan utama diketuai juara dunia, Loh Kean Yew.

"Saya rasa sama (peluang dengan Singapura) dan ia bergantung kepada Zii Jia. Dia menjadi tonggak untuk pertemuan dengan Singapura kerana selama ini peluang masih 50-50.

"Kalau Zii Jia menang, kita akan menjadi lebih mudah. Manakala Jepun pula menyenaraikan pemain baharu, mungkin kita boleh berharap kepada Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao walaupun keadaan mereka masih belum capai 100 peratus," kata Hendrawan.

Skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan manakala Kumpulan A diketuai juara bertahan, Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Pada saingan kali ini, Malaysia menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King and Kok Jing Hong.

Dalam acara beregu, Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi taruhan utama selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam bermula Selasa ini menyaksikan skuad wanita negara bakal berdepan laluan berliku apabila diundi bersama Jepun dan India dalam Kumpulan Y.

Skuad wanita dibarisi lima pemain perseorangan iaitu Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul.

Dalam acara beregu pula, pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah akan menjadi sandaran utama menyumbangkan mata selain Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan terus mara ke peringkat separuh akhir, sekali gus menempah tiket kelayakan automatik ke Piala Thomas dan Piala Uber 2022 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Undian Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022

Lelaki

Kumpulan A: Indonesia, India, Korea Selatan, Hong Kong

Kumpulan B: Jepun, Malaysia, Singapura, Kazakhstan

Wanita

Kumpulan Y: Jepun, India, Malaysia

Kumpulan Z: Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong, Kazakhstan

Berita Harian X