Isnin, 31 Januari 2022 | 8:49am
Rafael Nadal bersama trofi Terbuka Australia dimenangi di Melbourne. - AFP
Rafael Nadal bersama trofi Terbuka Australia dimenangi di Melbourne. - AFP

Federer, Djokovic puji rekod Nadal

PARIS: Rekod gelaran 21 Grand Slam milik Rafael Nadal yang diraih pada final Terbuka Australia malam tadi mendapat pujian Roger Federer dan Novak Djokovic yang sebelum ini terikat dengannya bersama 20 kejuaraan.

Nadal, 35, bangkit selepas ketinggalan dua set untuk menewaskan pemain Russia, Daniil Medvedev 2-6, 6-7 (5/7), 6-4, 6-4, 6-4 dalam saingan sengit 5 jam 24 minit di Melbourne.

Ia menampilkan usaha hebat Nadal pada saingan pembukaan kejuaraan major tahun ini selepas terpaksa mengubah permainannya kerana penyakit tulang di kaki kiri yang menamatkan musimnya pada Ogos 2021.

Federer, yang hampir menjadi pemain pertama mencipta 21 kejuaraan namun tewas lima set di tangan Djokovic pada final Wimbledon 2019, terlepas aksi di Terbuka Australia kerana kecederaan lutut.

"Kepada rakan saya dan pencabar yang hebat @rafaelnadal, tahniah kerana menjadi pemain pertama menang 21 gelaran Grand Slam," kata pemain berusia 40 tahun itu di Instagram.

"Beberapa bulan lalu kami berjenaka mengenai kami berdua menggunakan tongkat, menakjubkan. Jangan memandang rendah juara yang hebat.

"Etika kerja anda yang menakjubkan, dedikasi dan semangat juang adalah inspirasi kepada saya dan ramai lagi di seluruh dunia."

Djokovic yang dihantar pulang kerana isu vaksin turut mengucapkan tahniah selepas dia sebelum itu memuji Ashleigh Barty kerana menang gelaran wanita.

"Pencapaian yang menakjubkan. Sentiasa mempamerkan semangat juang yang berjaya sekali lagi.

"Enhorabuena (tahniah – diikuti ikon bertepuk tangan, trofi dan tanda bagus)." - AFP

Berita Harian X