Ahad, 30 Januari 2022 | 6:23pm
Rexy yakin skuad lelaki negara mampu jadi juara di BATC.
Rexy yakin skuad lelaki negara mampu jadi juara di BATC.

Rexy optimis skuad negara 'tawan' Shah Alam

KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara mampu melakar sejarah menjuarai Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia, Shah Alam dari 15 hingga 20 Februari ini selepas sekadar muncul naib juara pada edisi 2020 di Filipina.

Keyakinan itu disuarakan Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berdasarkan 'penilaian awalnya' terhadap barisan pemain negara berbanding senarai pemain lawan selain ketiadaan China.

"Kalau dilihat mungkin senarai pasukan dari Indonesia, mereka pun mempunyai pemain muda tetapi mempunyai pengalaman bermain dalam acara berpasukan.

"Sama juga seperti pasukan India, manakala Jepun pula mungkin akan menurunkan barisan utama atau kedua.

"Sekiranya kesemua pasukan ini turun dengan pasukan bukan terbaik mereka, kita mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh dan jadi juara," kata Rexy.

Skuad lelaki disertai juara Seluruh England 2021, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong bagi senarai perseorangan negara.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula akan mengetuai beregu bersama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Untuk pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul manakala beregu diwakili Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Untuk rekod, pada edisi 2020 di Manila, Malaysia tewas 1-3 di tangan Indonesia di pentas final berpasukan lelaki manakala pasukan wanita negara menamatkan kempen dengan berkongsi gangsa bersama Thailand.

Kali ini, BAM menetapkan sasaran untuk kedua-dua pasukan negara mara sehingga separuh akhir sekali gus meraih slot automatik layak ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

Berita Harian X