Ahad, 30 Januari 2022 | 11:06am
Pemain Australia Ashleigh Barty meraikan kemenangan di final Terbuka Australia menentang Danielle Collins dari Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
Pemain Australia Ashleigh Barty meraikan kemenangan di final Terbuka Australia menentang Danielle Collins dari Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Harapan tinggi azimat Barty

MELBOURNE: Ashleigh Barty jarang mempamerkan emosi di atas gelanggang tetapi apabila dia mencapai impiannya memenangi Terbuka Australia, yang turut menamatkan kemarau 44 tahun negara itu untuk juara perseorangan, dia mendongak kepalanya dan menjerit sekuat hati.

Peminat di Melbourne Park turut bersorak meraikan kejayaan pemain nombor satu dunia itu yang bangkit daripada ketinggalan 5-1 di set kedua untuk menewaskan lawan dari Amerika Syarikat Danielle Collins 6-3 7-6(2) dan memenangi gelaran Grand Slam ketiganya.

"Ia sesuatu yang di luar jangkaan. Saya tidak tahu apa yang ingin dilakukan atau dirasai. Dapat melepaskan emosi - sesuatu yang jarang saya lakukan - dan dapat meraikan bersama penonton, tenaganya amat luar biasa malam ini," kata Barty.

Sejak Barty memenangi gelaran major pertamanya di Roland Garros pada tahun 2019 dan mendaki hingga ke ranking teratas dunia, dia mula diletakkan sebagai harapan untuk menamatkan kemarau kejuaraan oleh pemain tempatan di Terbuka Australia.

Barty hampir melakukannya pada tahun 2020 apabila dia tewas di separuh akhir. Dia akhirnya memenuhi jangkaan itu dengan menjadi pemain tempatan pertama memenangi gelaran perseorangan Grand Slam sejak Chris O'Neil menjuarai kategori wanita pada tahun 1978.

"Saya rasa harapan itu membuatkan saya sentiasa cuba untuk memberikan persembahan terbaik saya, dan itu saja yang saya lakukan. Kini sebahagian impian saya sudah tercapai," katanya.

Barty kini sudah memenangi gelaran Grand Slam di tiga permukaan gelanggang berbeza, dengan juara major 23 kali Serena Williams satu-satunya pemain wanita yang masih aktif pernah melakukan perkara sama. - AFP

Berita Harian X