Sabtu, 29 Januari 2022 | 4:43pm
Choong Hann sahkan nama Zii Jia tersenarai dalam skuad negara hadapi BATC di Shah Alam.
Choong Hann sahkan nama Zii Jia tersenarai dalam skuad negara hadapi BATC di Shah Alam.

Zii Jia sah ketuai cabaran negara di Shah Alam

KUALA LUMPUR: Teka-teki berhubung penyertaan Lee Zii Jia dalam skuad lelaki kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 terjawab selepas dia disenaraikan bagi saingan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Shah Alam itu bermula 15 hingga 20 Februari ini.

Selain juara Seluruh England 2021 itu, lima lagi pemain perseorangan lelaki disenaraikan iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong.

Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata pemilihan pemain kali ini dibuat berdasarkan pencapaian keseluruhan dalam kejohanan antarabangsa.

"Macam Zii Jia dan Tze Yong mereka adalah yang paling menonjol sejak setahun yang lalu (di kejohanan antarabangsa). Bagi pemain lain pula, mereka dipilih berdasarkan ranking dalaman yang kami lakukan pada hujung tahun lalu.

"Untuk Jacky Kok pula kami ingin memberikan dia peluang menimba pengalaman selepas menunjukkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini. Kami mahu memberi galakan kepada pemain yang mempamerkan prestasi yang bagus dan mereka akan diberi peluang," kata Choong Hann.

Bagi saingan beregu, Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi taruhan utama pasukan negara selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Sementara itu, dalam saingan wanita, skuad negara menyenaraikan lima pemain perseorangan iaitu Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul.

Dalam acara beregu pula, pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah akan menjadi sandaran utama menyumbangkan mata selain Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Edisi BATC 2020 di Filipina menyaksikan skuad lelaki mara ke final sebelum tewas 1-3 di tangan Indonesia manakala perjuangan skuad wanita berakhir di separuh akhir.

Kali ini, BAM menetapkan sasaran untuk kedua-dua pasukan negara mara sehingga separuh akhir sekali gus meraih slot automatik layak ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

Berita Harian X