Sabtu, 29 Januari 2022 | 10:45am
Rafael Nadal meraikan kemenangan separuh akhir ke atas Matteo Berrettini di Terbuka Australia, Melbourne. - Foto AFP
Rafael Nadal meraikan kemenangan separuh akhir ke atas Matteo Berrettini di Terbuka Australia, Melbourne. - Foto AFP

Medvedev sedia halang Nadal cipta sejarah

MELBOURNE: Rafael Nadal menitiskan air mata selepas merasakan karier tenisnya kembali bernyawa apabila menewaskan pemain Itali Matteo Berrettini sekali gus mara ke final Terbuka Australia.

Nadal akan bertemu Daniil Medvedev di Arena Rod Laver esok untuk memburu gelaran Grand Slam ke-21 dirinya yang akan menjadi gelaran terbanyak dalam kategori perseorangan lelaki.

Beberapa bulan lalu, pemain 35 tahun dari Sepanyol itu bimbang dia mungkin tidak akan kembali ke gelanggang selepas kecederaan kaki menghalangnya melengkapkan musim 2021, termasuk Wimbledon, Olimpik dan Terbuka Amerika Syarikat.

Nadal turut dijangkiti COVID-19 bulan lalu tetapi kembali pulih untuk mengekalkan rekod tanpa kalah tahun ini.

Dia merakam kemenangan ke-10 berturut-turut semalam selepas mengatasi finalis Wimbledon, Berrettini 6-3 6-2 3-6 6-3 dan mara ke final keenamnya di Melbourne Park.

"Saya mengharungi banyak cabaran, bekerja keras setiap hari. Saya sering berbicara dengan pasukan dan keluarga tentang apa yang akan berlaku.

"Jika ia berterusan begini, mungkin sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Kini saya rasa kembali bernyawa dalam karier tenis saya," kata Nadal.

Kemenangan ke atas Medvedev esok akan menjarakkan Nadal dari Novak Djokovic dan Roger Federer dalam rekod gelaran major perseorangan lelaki.

Federer masih belum pulih daripada kecederaan manakala Djokovic dihantar pulang dari Australia sebelum kejohanan selepas visanya dibatalkan.

Ini adalah final major ke-29 Nadal, di mana di antaranya dia merangkul rekod 13 gelaran Terbuka Perancis. Kemenangan kedua di Melbourne Park akan menjadikannya pemain lelaki kedua selepas Djokovic memenangi kesemua gelaran Grand Slam sebanyak dua kali sejak sukan itu bertukar profesional pada tahun 1968.

Medvedev pula sekali lagi bersedia menjadi pemusnah impian dan menghalang sejarah daripada tercipta dalam pertemuan dengan Nadal esok.

Pemain Russia itu menyertai kelab pemenang Grand Slam apabila memenangi Terbuka Amerika Syarikat September lalu, sambil memusnahkan harapan Djokovic untuk meraih gelaran Grand Slam ke-21.

"Saya gembira mempunyai peluang untuk cuba menghalang, sekali lagi, seseorang daripada melakar sejarah," kata Medvedev yang dalam empat penampilan di final major adalah menentang sama ada Nadal atau Djokovic. - REUTERS

Berita Harian X